SENYUM SENYUM

Koleksi Cerita Pendek Lucu
Sumber:  Pelbagai


Cucur Udang Cucur Badak


          Setiap petang Pak Pandir menjual cucur udang di tepi jalan selekoh rumahnya untuk mencari rezeki. Di suatu petang datang seorang pelanggan membeli cucur udangnya, dan pelanggan itu pun berkata,
" Pak Pandir saya ni nak beri komen membina sikit...kenapa setiap kali saya beli cucur udang Pak Pandir tak pernah pun ada udang...bengang jugak saya...nama je cucur udang tapi tak ada udang...huh!"
Pak Pandir dengan hairan pun berkata,
         "Encik kenapa saya pula encik nak marah-marah...encik dah cuba beli cucur badak yang sebelah jalan sana tu...orang tak hairan pun tak ada badak dalam cucur dia...kalau encik nak marah-marah saya...marahlah dia jugak...baru la adil."


Bila Lagi?

          Mimi selalu merasa tidak selesa apabila datang ke majlis perkahwinan ahli keluarga. Nak tahu sebabnya? Biasanya, makcik-makcik dan para kerabatnya akan datang menghampirinya sambil menepuk-bahu, "Kamu bila lagi?" kata mereka. Menyampah betul, tidak berperikemanusiaan langsung! Tapi kebiasaan mereka ini terhenti setelah Mimi melakukan hal yang sama pada mereka setiap kali acara pengebumian keluarga berlangsung.


Anak Yang Patuh

           Dalam satu kelas darjah satu, seorang ustaz bertanya kepada pelajarnya. " Kamu semua hendak ke mana? Syurga atau neraka? Siapa yang hendak ke syurga angkat tangan!" Maka semua pelajarnya pun mengangkat tangan kecuali seorang pelajar. Kemudian ustaz itu pun bertanya lagi, "Siapa yang hendak ke neraka?" Semua pelajar tidak mengangkat tangan termasuk seorang murid tadi.
Ustaz itu berasa hairan lalu bertanya, "Bila saya tanya nak masuk syurga awak tak angkat tangan, bila saya tanya nak ke neraka pun awak tak angkat tangan. Habis awak nak ke mana?"
         Jawab murid itu, "saya tidak mahu pergi ke mana ustaz. Ayah saya suruh saya datang sini belajar, dia pesan, jangan pergi ke mana-mana, tunggu sampai dia jemput"..



Hadiah Perpisahan Buat Guru

            Cikgu Kamil akan bertukar sekolah dan sehari sebelum hari terakhirnya, murid-muridnya mengadakan jamuan perpisahan untuknya...Dia juga banyak menerima hadiah sebagai tanda kenang-kenangan.
"Oh cikgu tahu ini apa...mesti teddy bear kan!" ujarnya ketika menggoncangkan kotak pemberian anak-anak murid perempuannya.
"Eh cikgu ni hebatlah!" anak-anak murid perempuan bertepuk tangan.
Kemudian Cikgu Kamil memegang pula kotak pemberian murid lelaki pula. Kotak tersebut agak basah di bahagian bawah. Ada air menitik dari kesan koyakan kecil di tepi kotak.
"Ha, yang ni mesti air kordial," ujarnya sambil menjilat jarinya setelah terkena air yang menitik.
"Salahlah cikgu!" kata Ahmad, ketua kelas tersebut.
"Ok, cikgu cuba sekali lagi...ini mesti minyak wangi kan..." katanya sambil menghidu bawah kotak tersebut.
"Apalah cikgu ni! Salah! Sebenarnya ada seekor anak kucing di dalamnya!" sahut Ah Chong pula..



Nangka Beracun

              Seorang petani sangat kesal dengan sikap budak-budak nakal yang selalu mencuri nangka di kebunnya. Suatu hari, dia telah mendapat idea. Di tengah-tengah kebunnya diletakkan papan tanda yang besar bertulis:
'AWAS...SATU DARI NANGKA-NANGKA INI TELAH DISUNTIK DENGAN RACUN'
 Keesokan harinya, petani itu tersenyum kerana mendapati nangka-nangkanya itu tidak dicuri lagi.
            Seminggu selepas itu, petani ini pergi ke kebunnya mengambil nangka-nangkanya untuk dijual. Memang jelas kelihatan tiada satu pun nangkanya yang hilang. Tetapi, dia sangat terkejut kerana di sebelah papan tandanya terdapat satu lagi papan tanda yang baru bertulis:
'KINI ADA DUA NANGKA YANG DISUNTIK RACUN'



Jenama Nana

           Seorang jurujual sedang membuat soal selidik tentang produk harian yang kerap digunakan oleh pengguna. Kebetulan ketika itu ada seorang pelajar wanita yang baru selesai kuliah melintas di hadapannya. Lantas dia menanyakan hal tersebut.

Jurujual: Adik, sabun jenama apa yang selalu dipakai selama ini?
Pelajar: (Dengan selamba) Saya pakai sabun Nana
Jurujual: Kalau begitu, jenama deodoran yang adik pakai?
Pelajar: Saya pilih deodoran Nana juga
Jurujual: Minyak wangi pula?
Pelajar: Minyak wangi Nana
Jurujual: Syampu pula pakai jenama apa?
Pelajar: Sudah tentu syampu Nana

         Disebabkan terlalu kecewa dengan jawapan sama diberikan oleh pelajar berkenaan, jurujual itu terus bertanya tentang jenama produk berkenaan

 Jurujual: Sebenarnya, produk jenama Nana ni datangnya dari luar negara atau tempatan? Tak pernah pula saya dengar jenama Nana sebelum ini. Mana tahu, entah-entah produk tiruan.

Pelajar: Ia bukan jenama tempatan atau luar negara. Sebaliknya, Nana itu rakan sebilik saya.




Ada Makanan Lebih Tak, Encik?

Seorang pengemis pergi ke sebuah warung dan bertanya:

Pengemis : Ada makanan lebih tak, encik?

Tauke : Tak ada

Pengemis : Iyalah, sudah nasibku (sambil mengeluh dan berlalu pergi)

Keesokan harinya, pengemis tersebut pergi ke warung itu lagi dan bertanya soalan yang sama. Begitu juga hari-hari seterusnya. Tetapi dia tetap menerima jawapan yang sama iaitu 'tak ada'. Akibat jemu dengan soalan yang sering ditanya oleh pengemis tersebut, akhirnya tauke warung itu berkata:

Tauke : Saya sudah berkali-kali cakap, saya tidak ada makanan lebih untuk diberikan kepada kamu. Semuanya habis dijual!. Jika kamu bertanya lagi, saya akan pakukan kaki kamu ke lantai!

Keesokannya, pengemis itu datang lagi ke warung dan bertanya :

Pengemis : Ada paku?

Tauke : Tak ada!

Pengemis : Ada makanan lebih tak, encik?

Tauke : @#&%(&



Tiada Barang Yang Free

          Apabila suami pulang dari kerja, isterinya menyuruh ke pasaraya untuk membeli barang-barang dapur. Setelah membeli barang-barang yang dipesan, isterinya mengambil beg-beg plastik dan membawa keluar semua barang untuk disimpan. Tiba-tiba, isterinya ternampak di luar tin marjerin yang ingin disimpan tertulis...FREE...

          Isterinya terus bertanya kepada suami, mana benda yang free itu, kenapa tak ambil? Suaminya berkata yang beliau terlupa. Maka, isterinya menyuruh suami pergi semula ke pasaraya itu untuk menebus benda free tersebut. Suaminya pun pergilah membawa tin marjerin itu dan berjumpa dengan jurujual.

          Jurujual itu berkata benda free itu ada di dalam tin. Si suami tidak percaya dan bertengkar dengan jurujual itu. Tiba-tiba lalu penyelia dan terdengar pertelingkahan mereka. Apabila ditanya, si suami terus meminta benda free tersebut. Penyelia tadi membelek tin marjerin itu. Dia membaca tulisan berbahasa Inggeris itu...CHOLESTEROL FREE!!!...



Doktor Oh Doktor

           Pada suatu hari, seorang doktor pakar jantung meninggal dunia. Untuk mengenang jasanya, pihak hospital telah membuat sebuah tugu peringatan berbentuk jantung. Majlis mengenang beliau berjalan lancar. Sebulan kemudian, seorang doktor pakar mata pula meninggal dunia. Seperti yang sudah, pihak hospital membina tugu berbentuk mata pula untuk mengenang jasa beliau. Setelah selesai majlis, para hadirin berangkat pulang, hanya tinggal seorang sahaja yang masih termenung sendirian. Salah seorang doktor yang lain melihatnya dan segera menghampirinya.

'Sudahlah, yang berlalu biarlah berlalu. Tak usahlah bersedih lagi', katanya.

'Saya tak tahu nak cakap macam mana dengan awak', kata lelaki itu.

'Mengapa pula, mungkin saya boleh membantu', jawab doktor itu.

'Saya sedang memikirkan tugu peringatan saya sekiranya saya meninggal nanti,' kata lelaki itu.

'Mengapa pula?', tanya doktor tersebut

'Saya seorang doktor pakar penyakit kelamin,' jawab lelaki itu sugul.



Abu Punya Pasal

Suatu hari, seorang ibu menghantar anaknya, Abu yang baru berusia 5 tahun menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kangar, Perlis. Ibu itu berpesan kepada pemandu bas : "Encik...tolong tengok-tengokkan anak saya ya. Nanti kalau sampai di Ipoh...cakap pada anak saya."
          Sepanjang perjalanan, si anak ini berulang kali bertanyakan perkara yang sama iaitu " Dah sampai Ipoh ke belum?"
          Abu terus bertanya berulang kali sama ada kepada penumpang di sebelahnya atau pemandu bas. Mereka semua menyuruh Abu tidur dan berjanji akan mengejutkan dia bila sampai ke Ipoh.
           Disebabkan keletihan, Abu tertidur dengan nyenyak sekali.
           Pada masa yang sama, semua terlupa dengan janji mereka untuk mengejutkan Abu sehingga melepasi kawasan Alor Setar, Kedah. Pemandu yang kasihan dengan Abu itu mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Ipoh.
           Sampai di Ipoh, Abu dikejutkan.

Pemandu : Adik bangun. Kita dah sampai Ipoh.

Abu : Oh, dah sampai ye. (Lalu membuka beg pakaian dan mengeluarkan nasi bungkus)

Pemandu : Bukankah kamu hendak turun di Ipoh?

Abu : Tak lah. Saya hendak turun di Kangar. Tapi mak saya pesan, saya hanya boleh makan nasi bungkus ni bila dah sampai Ipoh.

Pemandu : Hah??!!


Pemalas, Pergi Dari Sini!

            Ada seorang ketua yang baru dinaikkan pangkat dalam sebuah syarikat yang besar. Kebanyakan pekerja di bawahnya mengalami masalah kurang bermotivasi, cuai dan malas. Jadi, sebagai bos baru, dia mengambil keputusan untuk mengajar pekerja-pekerja ini. Sesiapa sahaja yang dia nampak paling malas, akan dipecat serta merta. Malang tidak berbau, dia tiba-tiba ternampak seorang pekerja yang sedang menyandar di tepi dinding.

Bos : Yang berbaju biru itu...(sambil menjerit sehingga semua pekerja tersentak dan memandang ke arah lelaki itu)

Bos : Berapa gaji awak? (dengan nada yang keras)

Pekerja : Dalam RM800.

Bos : Nah! Ambil RM800. Pergi dari sini. Kalau nak malas-malas pergi kerja tempat lain.

Pekerja itu mengambil duit itu dan terus pergi dari situ.
Bos tadi memandang kesemua pekerja, merasakan pekerja-pekerja yang lain memahami maksud kejadian tadi, bos itu merasa puas. Namun, sebelum masuk ke biliknya, dia bertanya kepada salah seorang pekerja di situ.

Bos : Mamat tadi tu kerja bahagian mana?

Pekerja : Ohhh....dia itu penghantar pizza..



TAKUT ISTERI

Seorang pakar motivasi, Abu sedang berusaha untuk cuba menyelesaikan masalah sekumpulan suami yang takut isteri. Sebelum memulakan ceramah, dia mengarahkan semua peserta untuk duduk di meja sebelah kanan.
          Bagaimanapun, dia hairan apabila salah seorang pesertanya, Ali tidak mahu berganjak dari tempat duduknya.

Abu : Encik Ali, kenapa tak mahu beralih tempat ye?

Ali : Kenapa pula? Betullah saya duduk di sini

Abu : Kenapa Encik Ali tak bertukar tempat seperti yang diminta?

Ali : Isteri saya pesan, kalau duduk dalam satu majlis, jangan sesekali bertukar tempat!

Abu : (dalam hati : lerr...maksimum punya takut ni)



KOLAM AJAIB

Cerita tentang keajaiban sebuah kolam yang boleh mengubah rupa dan tubuh berdasarkan permintaan individu sudah tersebar luas. Kesempatan itu digunakan oleh seorang wanita tua, Maria yang ingin kelihatan muda semula.
          Di situ, dia bertemu dengan 3 orang lelaki yang seusia dengannya iaitu  Rudy, Bell dan Joe.

Maria : Encik, betul ke ini kolam ajaib yang boleh mengubah paras rupa?

Joe : Entahlah...apa kata biar awak yang cuba terjun dulu

Maria : Baiklah...wahai kolam ajaib, saya mahu lawa seperti Angelina Jolie (lantas terjun)

          Selang beberapa minit, Maria keluar kolam persis gaya Angelina Jolie. Perkara tersebut membuatkan Bell, Rudy dan Joe tak senang duduk. Mereka juga ingin kembali kacak bergaya menggunakan cara yang sama.

 Bell : Saya mahu jadi seperti Brad Pitt (terus terjun dan timbul seperti yang diminta)

Rudy : Saya mahu kelihatan kacak seperti Shah Rukh Khan (terjun kolam dan timbul seperti Shah Rukh)

         Disebabkan Joe mahu cara yang paling berkesan, dia berlari sekuat hati dan menjerit, "Saya ingin jadi...." tanpa disengajakan, dia tersadung batu dan melatah sejenis binatang sebelum terjun ke dalam kolam.....



Harta Pusaka

          Setelah beberapa tahun di perantauan, akhirnya Ismail pulang ke kampung untuk berjumpa dengan neneknya. Itupun selepas kedua ibu bapa Ismail memberitahu keadaan nenek yang tidak berapa sihat. Ismail juga mengharapkan agar nenek membuka cerita tentang harta pusaka buat cucunya.

Nenek : Ismail, nenek sudah tidak kuat lagi. Sebab itu, nenek minta kamu sambung mengusahakan kebun nenek...

Ismail : Jangan cakap macam tu nek...nenek kan masih kuat lagi ( dalam hati, tak sia-sia aku balik kampung, dapat harta pusaka nenek)

Nenek : Segala isi perkebunan, ternakan, villa dan traktor untuk kamu. Tolong jaga baik-baik, jangan lupa disiram setiap hari tanaman nenek.

Ismail : Baik nek, nenek jangan bimbang tentang hal tu. Tahulah Ismail nak buat macam mana. Tapi di mana kebun nenek? Ismail tak pernah tahu pun?

Nenek : Di Facebook nenek - FARMVILLE. Nanti nenek bagi tahu passwordnya.

Ismail : ???????


Bil Telefon

Bil telefon sebuah keluarga naik melambung. Suami telah memanggil semua ahli keluarganya untuk berbincang.

Suami :  Ini dah melampau. Gunakan telefon sesuka hati. Ayah tak gunakan telefon rumah, ayah gunakan telefon tempat ayah bekerja.

Isteri : Saya pun sama juga, gunakan telefon tempat saya bekerja.

Anak : Oh sorry! Saya hanya gunakan SMS sahaja. Untuk panggilan saya gunakan telefon tempat saya bekerja juga.

Pembantu Rumah : Jadi apa masalahnya? Semua orang gunakan telefon tempat bekerja. Sama juga dengan saya.


Sirap Ais

Kak Lijah menghidangkan minuman buat  Tipah yang berkunjung ke rumahnya.

Tipah : Buat susah-susah akak je

Kak Lijah : Eh, apa pula susahnya. Jemputla minum. Nanti sejuk pula sirap ais ni.

Tipah : ???


Kacang

Sewaktu melawat rumah orang-orang tua, Ah Pow duduk di sebelah seorang nenek. Sambil berbual, Ah Pow makan kacang yang terdapat dalam sebuah balang di atas meja.

Ah Pow : Nenek, jemput la makan sama kacang ni. Dari tadi saya seorang je yang makan. Sedap betul ni, nek (sambil mengunyah).

Nenek : Nenek tak boleh makan kacang, cu. Maklumlah gigi dah tak ada. Jadi nenek cuma hisap coklatnya dan masukkan balik kacangnya dalam balang tu...


Kisah Pengemis

Seorang pengemis mengetuk pintu rumah A. Lelaki kurus berpakaian comot itu berkata :

Pengemis : Cik, boleh sedekah duit sikit?

A: Maaf, saya memang tak ada duit. Sekarang ni tengah bulan, saya pun dah sengkek ni. Nak jalan-jalan kat luar pun fikir dua tiga kali sebab minyak mahal..

Pengemis : Sisa- sisa makan pun jadilah..

A : Sisa makan pun tak ada

Pengemis : Biskut ke, roti ke..

A : Memang tak ada

Pengemis : Macam mana dengan teh secawan?

A : Saya ni bujang. Dah dua hari tak masak air sebab teh habis

Pengemis : Kalau begitu, bagi saya air sejuk aje lah..

A : Betul...saya tak ada apa-apa nak bagi pada awak..

Pengemis : Kalau begitu, apa yang cik buat dalam rumah ni...pergilah keluar mengemis..


Siapa Gila

Suatu hari seorang pakar jiwa didatangi seorang pemuda.

Pemuda : Doktor! Doktor! Doktor! Tolong kawan saya doktor!

Doktor: Kenapa?

Pemuda : Kawan saya gila, doktor

Doktor : Macam mana awak tahu dia tu gila?

Pemuda : Dia berdiri di atas meja dan berkata, ' aku adalah lampu yang menerangi bilik ini.' Itu kan gila namanya doktor!

Doktor : Betul tu, mari kita suruh dia turun dari atas meja dan keluar dari bilik itu.

Pemuda : Jangan doktor!

Doktor : Kenapa tidak?

Pemuda : Nanti gelap bilik itu doktor!


Punca Terbakar

            Seorang Menteri Alam Sekitar sibuk meninjau kawasan kebakaran hutan yang cukup luas dengan helikopter. Kebakaran menyebabkan kerugian berjuta- juta ringgit.
"Apa punca yang menyebabkan hutan ni terbakar sehingga begitu luas sekali?" soal Menteri Alam Sekitar kepada pegawai pengiringnya.
"Api, Dato'!" sahut pegawai pengiringnya pantas dan penuh yakin. Menteri tersebut menjeling, dalam hati rasa geram bercampur bengang, sebab ada juga pegawainya yang bengap!


Sakit Jiwa

Seorang jururawat di hospital sakit jiwa ternampak pesakitnya, Ahmad sedang menulis surat.

Jururawat : Encik tulis surat kepada siapa tu?

Ahmad : Untuk diri aku sendiri

Jururawat : Tulis apa tu?

Ahmad : Mana aku tahu, esok posmen hantar surat ni balik pada aku, baru aku boleh baca!


Tafsir Mimpi

           Pada suatu pagi ketika bangun dari tidur seorang gadis terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Farouk, teman lelakinya.

Ramlah : Malam tadi saya bermimpi awak menghadiahkan saya set barang kemas berlian. Apakah pendapat awak tentang mimpi saya ini?

Farouk : Awak pasti akan mengetahuinya malam ini juga.

             Begitulah jawapan Farouk. Pada malamnya, sewaktu sedang makan malam, Farouk menghulurkan bungkusan hadiah kepada Ramlah. Ramlah membuka bungkusan hadiah itu dengan berdebar-debar. Dia terkejut apabila mendapati hadiah itu adalah sebuah buku yang berjudul : 'Jenis- jenis Mimpi dan Maksudnya'.


Keturunan

Seorang ibu sedang bercerita pada anaknya:

Ibu : Dulu katanya keluarga kita adalah yang sangat kaya raya dan kekayaan harta keluarga kita cukup untuk tujuh keturunan.

Anak : Tapi, kenapa keluarga kita sekarang miskin sangat ibu?

Ibu : Sebab kita ini keturunan yang kelapan nak....


KAKI KELAB

Sally, seorang ibu muda berjumpa dengan teman baik, Kelly dan bercerita tentang rumah tangganya.

Sally : Aku terpaksa minta cerai dari suami aku la...

Kelly : Kenapa pula?

Sally : Habis, hampir setiap malam kerjanya keluar masuk kelab malam

Kelly : Ohh...jadi suami kau tu kaki disko lah ye?

Sally : Bukan. Sebenarnya dia ke sana mencari aku!


MENTAL

Penghidap sakit mental, John menganggap dirinya adalah jagung dan terlalu takut dengan ayam. Jika ternampak haiwan itu, dia akan lari lintang pukang kerana menyangka ayam akan memakannya. Akhirnya, John dimasukkan ke rumah sakit jiwa. Setelah beberapa bulan, doktor pun melakukan ujian bagi mengetahui perkembangan dirinya.

Doktor : Adakah kamu tahu siapa diri kamu sekarang?

John : Ya doktor

Doktor : Siapa kamu sebenarnya

John : Saya ini manusia doktor

Doktor : Ye ke? Bukan jagung?

John : Bukan, saya manusia

Doktor : Kamu takut dengan ayam ?

John : Tidak, doktor

Doktor : Hmm...bagus. Nampaknya kamu dah sembuh

John : Tapi doktor, saya ada satu pertanyaan

Doktor : Apa dia?

John : Ayam tahu tak yang saya ni dah berubah jadi manusia?

Doktor : ?????


LINTAS JALAN

Azman ialah seorang anggota polis trafik. Pada suatu hari, ketika sedang membuat rondaan, dia terlihat seorang budak menangis di tepi jalan.

Azman : kenapa adik menangis?

Budak : saya nak lintas jalan ni..

Azman : la...tu pun nak nangis ke? lintas ajelah, bukan ada kereta lalu pun. Jalan ni lengang.

Budak : tapi mak kata kalau nak melintas jalan kena bagi kereta lalu dulu tapi dari tadi lagi tak ada kereta yang lalu pun.

Azman : ?????


Parti Orang Terkenal

           Suraya menghadiri sebuah parti hari jadi yang terdiri dari selebriti terkenal di sebuah hotel lima bintang. Ketika hendak pulang, Suraya dihampiri oleh si penjaga parkir.
'Mari, cik adik! Boleh saya temankan ke kereta?'
          Suraya hairan macamana penjaga parkir mengenalinya. Sebaik hampir ke keretanya, penjaga parkir berkata : 'Ini kereta cik adik kan?' sambil menunjuk ke arah kereta Suraya.
          Suraya semakin hairan macamana penjaga parkir itu dapat mengenali keretanya, sedangkan di situ terdapat ramai orang terkenal serta berpuluh-puluh buah kereta mewah.
           Dalam hati Suraya berkata : 'Ini pertama kali aku datang ke hotel terkenal ini...tapi penjaga parkir ini kenal pulak aku dan jenis keretaku. Mungkin juga kerana penampilan dan wajahku. Mungkin wajahku mirip mana-mana selebriti terkenal di sini?'
Untuk memastikan dugaannya betul atau tidak, Suraya memutuskan untuk bertanya penjaga parkir itu.
'Encik...macamana encik boleh kenal saya dan kereta saya. Padahal ada begitu ramai tetamu terkenal dan banyak kereta mewah yang ada di sini?'
'Oh...itu senang saja. Cik adik ni adalah satu-satunya tetamu yang bukan orang terkenal di parti ini!'


Tumpang Lalu...

Seorang nenek terkedek-kedek berjalan ke kaunter sebuah stesen keretapi.

Nenek : Anak, keretapi sampai pukul berapa?

Penjaga Kaunter : Dari Alor Setar sampai pukul 2.00 petang, dari Kota Bharu sampai pukul 1.00 petang, dari Kuala Lumpur sampai pukul 4.00 petang. Nenek nak pergi mana?

Nenek : Tak ke mana. Nenek nak melintas landasan aje. Terima kasihlah anak. Maknanya tak adalah keretapi lalu sekarang kan? Nenek tumpang lalu ye!


BERUBAH

Ah Seng ke restoran mamak tapi dia terlupa membawa dompet. Pada ketika itu dia ada 90 sen sahaja.

Ah Seng : Mamak berapa harga teh panas dengan sejuk?

Mamak : Panas 90 sen, kalau sejuk RM1.20.

Ah Seng : Bagi teh panas satu.

Sampai saja teh itu, Ah Seng terus meminumnya.

Mamak : Kenapa awak minum cepat sangat?

Ah Seng : Kalau saya tunggu lama-lama, nanti sejuk, tak pasal-pasal saya kena bayar RM1.20.



Wanita Terbaik Di Dunia

Seorang pakar motivasi berucap membuai- buai perasaan peserta program motivasi anjurannya.
' Tahun- tahun terbaik dalam hidupku telah aku habiskan bersama seorang wanita yang bukanlah isteriku!'
Hadirin terkejut dan terpaku... Namun pakar motivasi itu kemudian menambah : 'Sebenarnya si dia itu adalah ibuku. Wanita terbaik di dunia!'
Kah! Kah! Hadirin kemudian bertepuk tangan dengan gemuruh dan tertawa.
'Tapi bila saya ke luar negara, saya selalu bersama wanita ini, sekretariku! Kami menikmati saat- saat indah bak di syurga!'
Sekali lagi hadirin terkejut dan ternganga sambil menggigit jari. Namun, sekali lagi pakar motivasi itu menyambung:
 'Sebenarnya sekretari itu adalah isteriku, wanita setia di sampingku. Dia isteri terbaik di dunia!'
Kah! Kah! Hadirin bertepuk lagi. Lelaki itu dinobatkan sebagai lelaki terbaik di dunia perniagaan. Kaya tetapi setia.
Tapi si Mamat yang baru saja mengikuti seminar tersebut, kemudian ingin membuat kejutan kepada isterinya.Selepas makan malam, Mamat lalu berkata dengan lantang di depan isterinya di dapur.
'Ehem! Aku menghabiskan tahun- tahun terbaik hidupku bersama seorang wanita yang bukan isteriku!'
Mamat berhenti sejenak memejamkan matanya, cuba mengingati kembali kata-kata pakar motivasi tadi.
Namun sebaik membuka mata, dia mendapati dirinya terbaring di katil hospital akibat terkena siraman cerek air panas isterinya.


3 PERMINTAAN

Siti pergi ke sungai untuk membasuh pakaian. Sebaik tiba, terlihat olehnya seekor ikan yang menggelepar di atas batu. Lalu dia memasukkan kembali ikan itu ke dalam air. Tiba- tiba ikan itu berkata:

Ikan : Kerana puan telah menolong aku, puan boleh membuat 3 permintaan. Tetapi tiap permintaan itu, suami puan akan mendapat 10 kali ganda.

Siti   : Baiklah, saya mahu kelihatan cantik

Ikan : Tapi suami puan akan menjadi paling tampan di dunia ini

Siti   : Tiada masalah

Lalu Siti menjadi wanita paling cantik di kampung itu
Permintaan Siti yang kedua ialah ingin menjadi kaya

Ikan : Ingat! Suami puan akan 10 kali lebih kaya

Siti   : Tak mengapa. Wang miliknya akan menjadi milikku juga
Maka jadilah Siti wanita kaya dengan gelang emas memenuhi tangan

Ikan : Permintaan ketiga puan?

Siti   : Saya ingin serangan jantung yang ringan.


MALAS KE SEKOLAH

Jam sudah menunjukkan pukul 7 pagi. Salim masih lagi berdengkur. Ibunya segera mengejutkannya untuk ke sekolah.

Ibu     : Salim, bangun nak, nanti kamu terlambat ke sekolah

Salim  : Alah mak, Salim tak mahu pergi ke sekolah hari ni

Ibu     : Apa? tidak mahu ke sekolah? Baik, Salim beri emak 2 sebab kenapa Salim tidak mahu ke sekolah

Salim  : Semua murid-murid tidak suka Salim. Guru -guru juga tidak suka pada Salim

Ibu     : Itu bukan alasan untuk tidak ke sekolah. Cepat, bangun sekarang!

Salim : Baiklah, sekarang emak pula berikan 2 sebab kenapa Salim mesti pergi ke sekolah

Ibu    : Eh..eh...bertuah punya anak! Salim, dengar baik- baik. Pertama, Salim sudah berusia 50 tahun.   
           Kedua, Salim adalah PENGETUA SEKOLAH!



DASAR PENCURI

Jejai kehilangan 4 ekor lembu miliknya dan terus membuat laporan polia. Setelah membuat siasatan, pihak polis berjaya menangkap pencuri tersebut, Sone.

Polis : Kamu ditahan kerana mencuri lembu Jejai. Adakah kamu mengaku salah?

Sone : Saya mengaku salah tuan

Polis : Berapa ekor yang kamu curi?

Sone : Seekor saja, tuan

Polis : Bohong. Betul kamu tak tipu?

Sone : Betul, tuan. Saya cuma curi seekor saja

Polis : Tapi Jejai kata, kamu mencuri 4 ekor lembunya

Sone : Betul, tuan. Saya tak tipu. Saya cuma curi seekor.

Polis : Kamu jangan cuba berbohong ye.

Sone : Betul tuan, cuma seekor. Saya cuma curi ibu lembu, tapi saya hairan bila bapa lembu dan 2 ekor anaknya ikut sama, tuan...


WARAS

Di hospital ada 3 pesakit mental sedang diperiksa tahap kewarasan masing- masing.

Doktor : Apa yang awak bawa kalau berada di tempat yang panas

Pesakit 1 : Saya bawa kipas

Pesakit 2 : Saya bawa penghawa dingin

Pesakit 3 : Saya bawa pintu kereta

Doktor : Kenapa awak bawa pintu kereta?

Pesakit 3 : Nanti senang kalau saya nak buka tingkap. Cepat sikit sejuk....


HUKUMAN

Murid : Cikgu, apakah orang boleh dihukum untuk sesuatu yang belum dibuatnya?

Guru : Oh, semestinya tidak. Orang hanya boleh dihukum untuk perbuatan yang telah dibuat. Kenapa kamu tanya?

Murid : Syukurlah. Saya belum membuat latihan yang cikgu beri semalam...


ANJING

Dua ekor anjing terperangkap di sebuah pulau dan ingin berenang menuju ke seberang. Untuk sampai ke seberang, memerlukan stamina yang cukup!
Anjing A dah buat latihan renang habis- habisan. Manakala Anjing B pula rileks sahaja. Tiba masanya kedua-duanya menyeberang dan Anjing B sampai lebih awal dari Anjing A. Walhal Anjing A yang lebih teruk berlatih.
Anjing A tak puas hati, tapi Anjing B dengan tenang berkata :

'Sabarlah beb, janganlah terlalu emosi. Aku ni kan... anjing laut."


JAM TANGAN

Salleh pergi ke kedai jam untuk membaiki jam tangannya. Setelah melihat sekali imbas, si pembaik jam bertanyakan tentang harga jam itu.

Salleh : Harga jam ini RM1,000.

Pembaik Jam : Awak dah kena tipu. Ini bukan jam asli. Di mana awak beli?

Salleh : Di sinilah.... (marah)

SEJUK

Sebuah helikopter yang membawa seorang juruterbang dan 2 orang kenamaan jatuh terhempas. Juruterbang itu terselamat tetapi orang kenamaan itu meninggal di tempat kejadian. Apabila sedar dari koma, juruterbang itu pun disoal siasat oleh polis.

Polis : Cuba ceritakan apa yang sebenarnya terjadi supaya mudah kami buat siasatan.

Juruterbang : Entahlah ye, seingat saya, bila kami sampai pada ketinggian 30,000 meter tiba-tiba saya terasa sangat sejuk macam nak demam. Jadi saya pun matikan kipas helikopter tu...



BELANJA MAKAN

Seorang kaya bersiar-siar dalam sebuah kampung lalu terserempak dengan sekeluarga miskin yang sedang makan rumput.

Orang kaya : Kenapa kau makan rumput?

Orang miskin : Aku makan rumput kerana aku terlalu lapar

Orang kaya : Sedap ke makan rumput ni?

Orang miskin : Setelah tak makan seminggu, rumput inilah makanan paling sedap

Orang kaya : Apa kata kalau kamu ikut aku ke rumahku. Aku belanja kamu makan besar

Orang miskin : Betul ke ni orang kaya? Boleh aku bawa keluarga aku bersama?

Orang kaya : Boleh. Lagi ramai lagi bagus.

Orang miskin : Terima kasih wahai orang kaya. Tapi makanan cukup ke untuk kami sekeluarga yang ramai ni?

Orang kaya : Gerenti cukup. Rumput lalang kat rumah aku tu lebih dua meter tingginya!


SILAP MATA

Satu malam, Ali terdengar suara anak bongsunya menangis. Dia pun mendapatkan anaknya dan bertanya kenapa menangis. Si anak menjawab dia tertelan duit syiling lima sen dan sekarang dia takut akan mati sebab tertelan duit itu dan menangis teresak-esak.
         Ali yang buntu nak memujuk anaknya itu tiba-tiba teringat duit dalam poket seluarnya lalu mengeluarkan duit syiling lima sen.
        Kemudian Ali berpura-pura membuat silap mata dan mengeluarkan duit lima sen itu dari telinga anaknya. "Ha, kan ayah dah keluarkan ni,"
       Si anak gembira dan terus berhenti menangis. Sepantas kilat dia mengambil duit itu dan menelannya sambil berkata : " Buat lagi sekali ayah".


MR. BEAN

Suatu hari Mr Bean pergi ke farmasi untuk membeli vitamin buat cucunya yang berusia 3 tahun

Ahli farmasi : Banyak jenis vitamin encik. Encik nak yang mana satu. Vitamin A, B atau C?

Mr Bean : Tak kisahlah yang manapun. Cucu saya belum kenal huruf pun lagi...


SOAL JAWAB

Guru : Kenapa awak lambat?

Sin Chan : Kerana sebuah papan tanda

Guru : Papan tanda apa?

Sin Chan : Yang ada tulisan, 'Sekolah di hadapan, jalan perlahan'


FORMULA

Guru : Apakah formula untuk air?

Sin Chan : HIJKLMNO!

Guru : Apa yang awak cakap tu?

Sin Chan : Kan kelmarin cikgu kata H to O!


ANEH

Guru : Sin Chan, aneh sungguh stokin yang awak pakai ni, satu warna hijau berbintik hitam dan satu lagi berwarna merah berbintik biru

Sin Chan : Ya betul cikgu, memang nampak aneh. Saya pun hairan kerana ada sepasang lagi dengan warna yang sama di rumah


PETA

Guru : Sin Chan, pergi ke peta dunia tu, cari dan tunjuk mana Amerika Utara

Sin Chan : Di sini cikgu (Sin Chan menunjukkan tepat pada peta dunia yang tergantung di hadapan kelas)

Guru : Betul. Kelas sekarang, beritahu saya siapa yang jumpa Amerika Utara?

Kelas : Sin Chan, Cikgu!


TIGA BULAN

Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya Samdol lulus temuduga di sebuah kilang. Tapi sbelum meninggalkan bilik temuduga, pengurus kilang tersebut memberitahu sesuatu.

Pengurus : Untuk permulaan, kami bayar kamu RM5 sejam. Tapi lepas 3 bulan, kami naikkan gaji kamu kepada RM7 sejam. Setuju?

Samdol : Setuju tuan

Pengurus : Kalau begitu, bila kamu boleh mula kerja?

Samdol : 3 bulan lagi tuan


SINGA

Di sebuah zoo, seorang pekerja dimarahi ketuanya

Ketua : Kenapa kamu tak kunci kandang singa ni semalam? Bahaya betul

Pekerja : Tak perlu risau bos. Mana ada orang berani nak curi singa ni


PECAT

Majikan : Kamu dipecat!

Pekerja : Tapi saya tidak melakukan apa-apa!

Majikan : Itulah sebabnya kenapa kamu dipecat..


KERJA RUMAH

Guru : Akim, kenapa kamu pemalas sangat. Langsung tak nak buat kerja rumah yang saya bagi?

Akim : Emak yang suruh saya jangan buat kerja rumah

Guru : Kenapa pula emak awak cakap macam tu?

Akim : Sebab semua kerja rumah emak saya yang buat


PUNCA KEMATIAN

Damm!! Pintu pejabat sebuah hospital dihempas. Seorang doktor muda kelam kabut masuk berjumpa doktor senior.

Doktor senior : Kenapa ni?

Doktor muda : (Termengah-mengah) Saya dah buat silap masa isi borang kematian pesakit. Teruklah saya macam ni

Doktor senior : Silap macam mana pula?

Doktor muda : Saya tandatangan nama saya di bahagian punca kematian


NAMA TERPANJANG

Situasi 1 :

Ajoi mendapat kerja sebagai guru sandaran di sebuah sekolah. Selepas memperkenalkan diri, dia menyemak senarai nama murid darjah 3 Raya dan merasa pelik semasa membaca nama seorang murid iaitu W.TAUFIK WWW.
Lalu dia pun menanyakan perkara tersebut.

Cikgu : Cikgu nak tahu, siapa yang bernama W.TAUFIK WWW?

Taufik : Saya Cikgu (Taufik menjawab dan berdiri)

Cikgu : Taufik, saya ingin tahu nama panjang kamu apa?

Taufik : Maaf Cikgu, panjang sangat.

Cikgu : Tak apa Taufik, cakap aja.

Taufik : Baik Cikgu. Nama penuh saya ialah Wabillahi TAUFIK -wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Situasi 2 :

Setelah habis mengajar di kelas itu, Cikgu Ajoi kemudian masuk ke darjah 1 Mawar dan menyemak nama murid-murid. Cikgu Ajoi terbaca satu nama yang unik iaitu BKBKBDB DIAN.

Cikgu : Cikgu nak tahu, siapa yang bernama BKBKBDB DIAN?

Dian : Saya Dian Cikgu

Cikgu : Dian ada abang di sekolah ni? Macam sama saja muka kamu dengan dia.

Dian : Ya Cikgu. Nama dia Taufik. Abang saya darjah 3 Raya.

Cikgu : Saya ingin tahu nama panjang Dian.

Dian : Baik Cikgu. Nama panjang saya ialah Berakit-rakit Ke hulu, Berenang-renang Ke tepian, Bersakit-sakit Dahulu, Bersenang-senang kemuDIAN.