Thursday, March 17, 2011

Sebab-sebab Kek Tidak Menjadi

       Walaupun saya suka juga membuat kek, tapi saya tidak pernah menghadiri sebarang kursus. Saya cuma belek-belek majalah resepi atau tengok-tengok di internet, kemudian kalau ada yang berkenan di hati, saya cuba buat sendiri. Sebab itu memang ada  resepi yang saya buat hasilnya memang mengecewakan. Sebab saya memang tidak ada asas dan semuanya berdasarkan 'trial and error' sahaja.  Jadi kali ni saya nak berkongsi pula artikel dari majalah Saji tentang sebab-sebab kek yang kita buat tidak menjadi.

Kek Terlalu Berat
  • Telur yang digunakan kecil
  • Tepung tidak digaul rata dengan cara yang perlahan dan lembut. Oleh itu jika ingin memukul tepung dalam adunan kek, gunakan kelajuan yang perlahan
  • Terlalu banyak tepung
  • Suhu ketuhar terlalu rendah
Bahagian Tengah Kek Mendap
  • Suhu ketuhar tidak panas sewaktu adunan dimasukkan pada peringkat awal
  • Kek tidak dimasak dengan kadar waktu yang tepat
  • Penutup ketuhar terlalu cepat dibuka, sebaik sahaja kek masak. Oleh itu jangan keluarkan kek sebaik sahaja ia masak. Biarkan ia sebentar.
  • Penutup ketuhar sering dibuka ketika kek sedang dimasak
Kek Tidak Naik Sekata
  • Tepung tidak digaul sebati dan sekata
  • Suhu dalam ketuhar juga tidak sekata dan kepanasannya tidak merata
  • Suhu ketuhar terlalu panas
Kek Merekah
  • Ketuhar terlalu panas
  • Kismis atau buah-buahan kering yang digunakan tenggelam ke bahagian bawah adunan
  • Buah-buahan kering yang digunakan terlalu besar dan berat
  • Buah-buahan kering tidak digaul terlebih dahulu dengan tepung sebelum ia dimasukkan ke dalam adunan
  • Adunan dipukul terlalu lama
      Macam saya, ada kek yang saya buat terlalu keras sampai tak boleh dipotong, ada pula yang hangus sebab salah set masa ketuhar,  dan macam-macam lagilah. Tapi selalunya kek yang saya buat jarang menjadi pada percubaan pertama. Bila dah beberapa kali buat barulah ok hasilnya. Itu sayalah, anda pula bagaimana? : )

Saturday, March 12, 2011

Buku cerita Enid Blyton

        Semasa saya bersekolah rendah dulu, teman saya yang paling akrab adalah buku-buku cerita karya Enid Blyton yang telah dialih bahasa ke bahasa Melayu. Saya ingat lagi, bermula dari darjah 3 saya mengumpul siri 5 Sekawan. Setiap bulan bila abah dapat gaji, abah bawa saya ke Seremban untuk membeli sebuah dua buku. Naik motor je. Selalunya pergi lepas Maghrib. Harga pada masa itu hanyalah RM1.90 sebuah. Tapi sebab kami bukan orang senang, saya rasa nilainya cukup besar.
        Saya tidak membeli yang originally written in English selain dari sebab harganya terlalu mahal, ia juga tidak seseronok membaca yang telah dialih bahasa. Sebab yang dialih bahasa ini rasa macam watak-watak itu tinggal di Malaysia, lebih mudah untuk menghayati ceritanya.
        Selain siri 5 Sekawan, saya mengumpul siri 5 Penyiasat dan siri Pelajar. Buku 5 Sekawan (dalam bahasa Inggerisnya The Famous Five) adalah cerita pengembaraan Eddie, adik-adiknya Dean dan Mona, sepupu mereka si tomboy George dan anjingnya Tompok. Seronoknya siri ni sebab mereka asyik makan, makan dan makan...bila baca saya pun rasa lapar aje...
        Siri pelajar pula ialah kisah pelajar di sekolah berasrama. Masing-masing ada perangai yang tersendiri. Sekolah yang pertama adalah Sekolah Seri Melur (The Malory Towers) dan yang kedua adalah Sekolah Tengku Asikin (The St. Clare). Tapi yang paling best sekali ialah siri 5 Penyiasat. Seronok membaca 'Gemuk' dan kawan-kawannya menyiasat kes sambil 'mengenakan' Encik Goon, polis angkuh di kampung mereka.



        Saya cuba menggalakkan anak-anak buah saya membaca buku-buku ini tetapi mereka lebih gemar kepada komik dan novel-novel remaja karya penulis baru. Terpulanglah kepada citarasa masing-masing. Cuma pada saya, yang membuatkan saya gemarkan karya Enid Blyton ini adalah kerana jalan ceritanya yang imaginatif dan cara penulisan yang menarik. Contohnya sekiranya dalam buku itu, watak A pergi ke sebuah rumah, maka beliau akan menerangkan keadaan rumah itu. Seperti petikan di bawah:

Rumah berwarna putih di lereng bukit yang kelihatan menghijau itu seolah-olah sedang tersenyum disinari suria yang memancar. Ianya terletak di dalam taman yang indah. Pintu pagarnya berwarna hijau dan putih. (petikan dari Keluarga di Rumah Atap Merah)

        Seronok rasa bila membacanya. Sebab itu masa kecil-kecil dulu saya suka berangan. Dan saya tak nafikan membaca  buku-buku ini telah banyak membantu saya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Sekarang sekali sekala ada juga saya membaca kembali buku-buku ini. Tak sangka yang ada antaranya dah berusia 21 tahun. Masih dalam keadaan baik lagi.
        Saya tak kisah kalau ada yang kata saya macam budak-budak bila baca buku cerita dalam usia begini. Bagi saya karya yang baik tidak ditelan zaman. Lagi pun saya tidak menghadkan bahan bacaan saya.   Asalkan baik, tiada unsur memudaratkan saya akan baca. Jujurnya majalah Remaja pun saya baca juga walaupun dah tak remaja. Tambahan pula buku-buku ini mempunyai memori zaman kanak-kanak saya...

Koleksi yang ada :

5 Sekawan

1) Di Pulau Pusaka
2) Cabut Lari
3) Di Puncak Penyamun
4) Lorong Rahsia (ingat lagi...baca buku ni bertemankan cahaya lilin..sebab balik dari beli tetiba blackout)
5) Gangguan Tengah Malam
6) Ngeri Di Gua Gelap
7) Pergi Berkhemah
8) Dalam Bahaya
9) Mengembara Bersama
10) Mengembara Lagi
11) Cahaya Dari Menara
12) Rahsia Kota Baiduri
13) Misteri Padang Singkir
14) Diburu Penculik
15) Di Ladang Permai
16) Di Batu Puaka (tak cukup mukasurat..huk huk)
17) Di Bukit Jaguh

Unfortunately, lagi satu tajuk "Di Pulau Berbisik" tak dapat dikumpul. Maka, tak lengkaplah semua siri 5 Sekawan ni...

5 Penyiasat

1) Misteri Pondok Terbakar
2) Misteri Kucing Hilang
3) Misteri Bilik Rahsia
4) Misteri Rantai Hilang
5) Misteri Karung Ajaib
6) Misteri Surat Dendam
7) Misteri Banduan Ghaib
8) Misteri Kucing Pantomim
9) Misteri Pencuri Ghaib Di Hutan Inai (my favourite)
10) Misteri Rumah Tersembunyi
11) Misteri Kehilangan Putera Raja
12) Misteri Menara Penunggu
13) Misteri Surat Terbang (tak cukup muka surat)
14) Misteri Seri Keruing
15) Misteri Lorong Cempaka

Siri yang paling best dan kelakar :)

Siri Pelajar

1) Tingkatan Satu Di Seri Melur
2) Tingkatan Dua Di Seri Melur
3) Tingkatan Tiga Di Seri Melur
4) Tingkatan Empat Di Seri Melur
5) Tingkatan Lima Di Seri Melur
6) Penggal Terakhir Di Seri Melur
7) Saudara Kembar Di Sekolah Tengku Asikin
8) Anak Kembar Encik Harun
9) Penggal Ketiga Di Sekolah Tengku Asikin
10) Tingkatan Dua Di Sekolah Tengku Asikin
11) Tingkatan Empat Di Sekolah Tengku Asikin
12) Tingkatan Lima Di Sekolah Tengku Asikin

Siri Pengembara

1) Pulau Rahsia
2) Rahsia Kota Sarang
3) Gunung Rahsia
4) Rahsia Gunung Gagak
5) Rahsia Istana Purnama
6) Empat Pengembara

Siri ni tak lengkap sebab cuma suka kumpul tajuk-tajuk yang ada watak Jack, Mike, Peggy dan Molly...Tajuk Pulau Rahsia memang best sangat-sangat...

7 Penyiasat

1) Kisah 7 Penyiasat (Pencuri Berkaki Kayu)
2) Pencuri Surat Berdaftar
3) 7 Penyiasat Berjaya Lagi ( Rahsia Gua Batu)
4) Tujuh Perisik Kebingungan (Pencuri Biola)
5) Jaguh

Kurang minat la siri ni...nipis sangat bukunya...

Siri Jenakaria

Dah baca semua tajuk dalam siri ni masa sekolah rendah...sayangnya tak dapat kumpul..susah yang amat nak mencarinya...yang ada cuma Tiga Anak Patung Hitam dengan Jangan Jadi Bodoh, Tawil (ini pun dah hilang...)

Siri Sukaria

Sama kes dengan Siri Jenakaria. Cuma ada tajuk Kanak-kanak Di Ladang Aman je. Ohh kan best kalau dapat kumpul yang tajuk Hutan Ajaib dengan Kerusi Ajaib tu...

Siri Kembar

Ada satu je...Seminggu di Kuala Lumpur...Bobby dan Mary saudara kembar, dan mereka ada adik kembar Ron dan Jane

Dan...lagi satu yang paling ku suka...'Keluarga Di Rumah Atap Merah'... :)

Wednesday, March 9, 2011

Warna dan Kesan Kepada Minda

Warna memang membuatkan hidup kita lebih ceria dan menyeronokkan.  Setiap warna mempunyai kesan terapi kepada kita. Berikut adalah warna-warna dan fungsinya:

Merah 
memberi kesan dinamik, sensual dan mewah. Menyerap tenaga, kehangatan, aktif,  optimis, berani dan bersemangat. Merah dipercayai berupaya meningkatkan aliran darah dalam tubuh.

Merah Jambu
 - mampu membuatkan si pemakai berasa lebih muda, ceria dan romantik.

Kuning
 - menghangatkan suasana,membangkitkan tenaga, emosi dan kekuatan.

Jingga
 - memberi impak bertenaga, cergas, mesra dan kreatif. Ia memberi aura positif, senang, gembira dan yakin serta mampu mengurangkan tekanan. Tetapi jika warna ini dipakai berlebihan, ia akan merangsang sikap hiper aktif.

Biru
- memberi kesan harmoni, kebenaran, tenang dan dingin, rasa tenteram, hening dan nyaman.

Hijau 
- memberi kesan semulajadi, segar, mewujudkan keseimbangan emosi atau kejiwaan.

Ungu
 - menimbulkan kesan hangat, feminin dan anggun.

Setiap warna mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Terpulanglah kepada kita untuk memilih warna kegemaran masing-masing.

Sunday, March 6, 2011

Panduan Sewaktu Keluar Membeli-belah

            Memanglah seronok bila dapat keluar shopping. Tambah lagi bila dah lama kita aim sesuatu barang. Tapi ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian, kalau tidak mood  tu boleh rosak pula nanti....dah tak seronok jadinya...

  • Mula-mula sekali, bila nak keluar shopping, pastikan kita memakai kasut yang sesuai. Seeloknya sandal tapak rata aje. Sebab nanti sudah tentu kita nak pusing-pusing,jalan-jalan di pasaraya tu...kalau pakai kasut tumit tinggi memanglah sekejap je dah lenguh kaki tu...padahal barang yang dicari belum jumpa pun lagi...
  • Pastikan kita sudah ada idea barang apa yang nak dibeli. Ini untuk mengelakkan daripada membeli barang yang tidak diperlukan dan mengelakkan kita membuang masa hanya untuk berfikir dan berjalan tanpa tujuan.
  • Budget itu perlu...kalau tidak habis duit dalam ATM nanti...
  • Sekiranya nak keluar shopping dengan kawan-kawan, pilihlah yang sesuai dan sekepala dengan kita. Nanti bila membeli, kalau boleh tak nak la dengar komen macam ni  'eh, u beli barang ni? u pakai brand ni?'....nanti tak pasal-pasal hilang mood kita...ye la kita kan ada hak nak membeli apa yang kita suka...lagipun setiap individu ada citarasa yang  berlainan kan...
  • Pastikan kita makan dulu...barulah ada tenaga nak berjalan-jalan. Kalau perut kosong memang tak seronok dan rasa fikiran pun terganggu aje...lepas tu rasa nak membeli makanan aje...penuh satu troli nanti.
  • Kalau membeli pakaian,kasut atau beg, elakkan membeli  yang tidak sesuai dengan kita walaupun ada jualan murah. Diskaun 50 peratus sekali pun, kalau kita pakai tak cantik tak guna juga. Kira membazir jugak tu.
Yang penting belilah ikut keperluan bukan kehendak. Tapi kalau korang orang kaya lainlah cerita  : )

Saturday, March 5, 2011

Kek Coklat Lembap Tanpa Butter

            Hari ni saya ada buat kek coklat untuk anak buah saya. Sebenarnya saya dah membuatnya beberapa kali sebelum ni memandangkan cara membuatnya sangat mudah. Tak perlu  pakai butter sebab resepi ni tak memerlukannya, sebaliknya diganti dengan minyak masak je. Resepi ini saya dapat dari internet tapi tak pasti siapa tuan punyanya. Tapi berbanyak-banyak terima kasih la kepada beliau sebab sudi berkongsi resepi kek yang sedap ni.

Kek Coklat Lembap Tanpa Butter

Bahan-bahan
  • 2 biji telur
  • 1 cawan minyak masak
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan gula perang
Bahan A
  • 1sudu kecil esen vanila
  • 1 1/2 cawan susu segar perisa coklat
  • 1/2 cawan air campur dengan 2 sudu kecil nescafe
Bahan B
  • 2 sudu kecil sodium bikarbonat
  • 1 sudu kecil baking powder
  • 1/2 cawan serbuk koko
  • 2 cawan tepung gandum

Topping
  • 1/2 cawan koko Van Houten
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 1 sudu besar minyak masak
Cara-cara
  1. Pukul telur hingga kembang
  2. Masukkan gula dan pukul lagi
  3. Masukkan minyak masak.Gaul sebati
  4. Ayak semua bahan B dan masukkan sedikit demi sedikit ke dalam telur tadi berselang seli dengan bahan A 
  5. Gaul hingga sebati
  6. Bakar pada suhu 170 darjah Celcius selama 1 jam atau sehingga masak
  7. Untuk topping, masukkan semua bahan-bahan dalam periuk, panaskan dengan api yang kecil, letak atas kek yang dah sejuk.
Waktu membakar adalah terpulang kepada kepanasan oven masing-masing. Macam saya, 40 minit je kek ni dah masak.